Friday, November 26, 2010

Jangan semua boleh...

Bukan sekali tetapi telah berkali-kali, kisahnya tetap sama .. ceritanya bernada serupa.
Puncanya bukan dari penjual tetapi dari pengguna itu sendiri. Nampak seorang dua yang mukanya melayu maka berduyun-duyun melayu lain terpedaya.
Jadilah seorang yang selektif, punya sedikit gerak hati yang ragu-ragu agar kita tak mudah mengikut melayu yang seorang dua itu.
Makanan itu akhirnya menjadi darah daging kita, boleh bikin hati jadi gelap dan keras andai tersalah pilih. Jangan asal tengok terus terkam, jangan asal nak jaga glamour
semua yang boleh makan disapu.
Sila baca artikel ini... logo halal Jakim

ini baru kira makan
belum kira perkara lain lagi
bila cakap melayu boleh...
ada pulak yang melenting...hmmm
sila tepuk dada dan tanya selera.
Mau jadi seperti apa?
Melayu yang melayu
atau melayu yang ....

Monday, November 15, 2010

Selamat Kembali...

Berita yang cukup menggembirakan kami sekeluarga apabila si comel anak sedara saya telah dapat pulang ke rumah. Melalui pengalaman 2 bulan di ICU, bukanlah mudah apatah lagi buat kakak dan abang ipar. Selama 2 bulan mereka bermalam di kawasan hospital. Kadang-kadang di kaki lima di luar wad ICU dan kadang-kadang bermalam di dalam kereta. Dalam tempoh 2 bulan itu rasanya hanya 6 malam sahaja mereka bermalam di rumah. Itupun kerana 3 malam meneman adik yang bakal menghadapi UPSR dan 3 malam lagi kerana si kecil Hakimi demam. Bukan calang orang yang sanggup berkorban seperti ini... kasih ibu dan ayah melangkau batas masa, tenaga dan wang ringgit. Jika kita diduga seperti ini, banyak perkara yang kita tolak ketepi demi kasih dan sayang pada seorang anak.
Syukur kini kami mudah mengurus ~rumah kami bersebelahan. Saya tahu tidak banyak yang dapat saya bantu kerana mereka cukup menjaga keperluan kak long. Bertuahnya kak long kerana punya ibu dan ayah sebegini... Moga kak long akan jadi lebih kuat semangatnya selepas ini dan cepat sembuh agar dapat kembali ke alam pekerjaannya. ~dia sakit pada hari kedua dia mula bekerja

Thursday, October 21, 2010

Bersabarlah wahai hatiku dan hati suamiku..

Lokasi : Diluar Bilik Bedah / ICU /CCU
Watak : Diriku, Suami, Ramlah (pengawal keselamatan yang baik hati) dan 2 orang tua lelaki (seorang berkopiah dan seorang lagi berseluar jeans berkemeja)
Masa : 12.25 tengahari

Situasi : Anak saudara berkeadaan agak krikital sejak petang semalam. Mengalami sesak nafas akibat ada blood clog di lubang pernafasan yang ditebuk dileher. Doktor membenarkan kami melawat masuk tanpa mengikut jadual lawatan. Kami dibenarkan untuk berada disisinya dan membacakan surah Yasin. Turut berada di dalam keadaan kritikal adalah seorang pesakit yang berbangsa cina. Seorang waris lelaki cina itu turut masuk tanpa sekatan
Ayah dan suami masuk setelah diizinkan masuk. Saya tinggal di luar kerana kurang sihat ~ amat tidak baik berada dikalangan pesakit. Saya akur walau berasa sangat sedih....saya tidak mampu berada di sisinya, saya hanya melihat dari luar cermin. Ya Allah ..berat sungguh dugaan ini. Bersabarlah wahai abang dan kakakku, moga kak long akan sembuh dan sihat seperti dahulu.

Pakcik yang berkopiah itu hanya diam dan sabar menunggu. Berlainan dengan tingkah laku orang tua yang seorang lagi. Mengomel tentang keadaan yang berlaku dengan mengatakan ada pilih kasih kerana ada pelawat boleh masuk ...dia tak boleh.
~Berdiri sambil menunggu boleh buat dia jatuh sakit.
~Perlu diadu kepada pihak atasan masalah ini.
~Dia nak buat aduan / komplen di internet.
~Kerusi pun tak ada.

** Maka dengan lembut sabarnya, Ramlah menerangkan tentang kedua-dua pesakit yang berada di dalam keadaan krikital ini, mengapa ahli keluarga dibenarkan masuk.

Orang tua ini masih tidak puas hati dan sewaktu Ramlah sedang menekan lif bagi membantu petugas memindahkan pesakit .. dia cepat-cepat meluru masuk ke wad ICU. Kami hanya memerhati keadaan. Ya Allah .. ketika dia membebel saya melawan rasa untuk berkata-kata kepada dia. Kami tidak suka berada di situ, kami tidak minta untuk dibenarkan melawat bila-bila masa kerana jika pesakit di ICU itu stabil, kebenaran itu tidak akan diberi. Jika seorang tua itu, baik budi bahasa dan adabnya .. dia pasti akan disanjung. Sama seperti pakcik berkopiah itu, tidak sedikit pun berkelakuan seperti rakannya.
Saya nyaris berkata-kata, dan saya pasti jika saya berkata-kata .. pasti tajam bunyinya. Jangan kata orang muda tidak menghormati jika anda yang berusia lebih separuh abad tidak tahu menghormat orang lain, tidak tahu menyelami perasaan waris-waris pesakit yang kritikal ini. Seolah-olah dia punya segalanya.
Syukur ya Allah, suara saya masih sebegini .. andai saya sihat, dia tak akan saya lepaskan begitu sahaja. Dia orang tua yang perlu disedarkan dari sikap angkuhnya itu. Dia perlu ditegur agar tahu untuk berada 'in other people shoes'.

Kak long telah mengalami jangkitan kuman
baru pada paru-parunya. Keadaannya lemah
dan tidak stabil. Alatan sokongan berada
diselilingnya. Jika 2 hari lepas keadaannya
amat baik dan menyenangkan tapi hari ini
dia hanya mampu terlantar
dengan pelbagai ubatan dimasukkan.
Ya Allah ... kuatkanlah semangat kak long
kuatkanlah semangat kami untuk terus
berdoa dan berada disampingnya.

Wednesday, October 20, 2010

Saya kehilangan nikmat...

Sudah hampir seminggu saya kehilangan nikmat itu.
Kerap juga berlaku sebelum ini, zaman sebelum saya belum dioperasi.

Banyak yang saya hilang akibat kehilangan yang satu ini..
Saya hilang semangat untuk bercerita
Saya hilang mood untuk memarahi
Saya hilang rasa untuk bersosial dengan rakan
Saya hilang peluang untuk melawat sicomel anak saudara di wad ICU
Saya hilang....

Banyak juga yang saya dapat buat berbanding sebelum...
Saya lebih banyak tersenyum dan mengangguk sebagai tanda menghargai
Saya banyak mendengar
Saya banyak membaca
Saya banyak melihat dan berfikir untuk cuba memberi respon..
Saya banyak ...

Hari ke7 ini dengan nikmat suara yang baru sedikit dikembalikan kepada saya.
Saya bersyukur kerana saya diberi peluang ... bermuhasabah diri
mungkin sebelum ini mulut dan suara telah banyak berbuat perkara kurang baik.
mungkin mulut dan suara terlalu lantang melontar idea dan teguran.
mungkin mulut dan suara ini kurang berbuat kebaikkan dan lupa mengingat padaNya..

Batuk dan Demam yang silih berganti
Rindu pada ayaq ais ...
Rindu pada makanan pedas ...
Banyaknya yang saya rindu ..

Monday, September 20, 2010

Kembalilah semula sicomel saya ..

Setelah hampir beberapa minggu kami diuji, hari ini saya sudah mampu menulis. Maaf kepada teman-teman yang berusaha bertanya keadaan dan situasi itu tapi saya hanya mampu menjawab dengan air mata.
Apa situasinya itu hingga respond saya sedemikian rupa?
Anak saudara perempuan ini memang rapat dengan saya mungkin kerana sewaktu kecilnya dia yang paling kerap saya tukar lampinnya dan melayannya.
Hari ini, diusia 21 tahun .. dia terlantar di hospital kerana serangan dari penyakit ini ~Guillain-Barre Syndrome~ Kami tak pernah tahu tentang ini .. tidak pernah pun mendengar sesiapa yang mengalaminya tetapi hari ini segalanya berubah. Kami belajar apa yang patut kami tahu, kami cuba memahami sebaiknya apa yang perlu kami fahami.

Moga kak long cepat sembuh dan cepat juga dibuli oleh sikecik Kimi. Hari ini, keadaan kak long di ICU sangat baik berbanding semalam. Bantuan pernafasan (intubation) juga sudah mula dikurangkan dari 70% ke 50%. Mukanya lebih merah dan segar, mampu respond dengan anggukan dan gelengan bila kita bertanya.




Banyak yang dilalui...

Lama tidak menulis sehingga sudah terasa amat ganjil bila mula mengemaskini blog ini.
Banyak sungguh perkara yang dilalui .. sehingga sudah tidak terketuk jari ini untuk menulis.
Datanglah semangat yang dulu, yang rajin bercerita, yang sentiasa kaya dengan idea dan yang paling utama dalam menulis ini .. bila sebahagian dari beban diri terbias seolah-olah diri sedang bercerita kepada sahabat baiknya.


saat saya terasa seperti
saya perlu bercerita
meluah rasa
pada sesuatu yang
saya tahu tidak mampu
berkata-kata..


Saturday, May 29, 2010

Hello kembali..

Ini paling lama masa yang diambil untuk tidak menulis, memang banyak perkara yang berlaku bermula dengan tangan cedera terkena ayaq hangat suatu ketika dulu..
la ni hanya tinggal sedikit parut, tak adalah cacat tara mana pun.. syukur..

Pas pada tu, terus jadi malas untuk menulis ..
Pas ni pulak, rasa macam dah ada mood balik untuk menulis..
Kerja kat situ, yang tak habis-habis datang ...
Projek Filem lagi.. haha camana entah nak buat filem, tengok pandai .. komen pun pandai.. tapi nak hasilkan yang betul2 untuk tontonan .. macam tak berapa betul je bunyinya..

hmm.. yang lain-lain cerita tu akan ditulis kemudian.. bye..

Sunday, January 10, 2010

Kerja bersusun ..

Macam-macam kerja yang bersusun, menunggu masa untuk dibereskan namun semuanya bagai tidak mendapat reaksi yang sewajarnya dari tuan punya badan ini. Terlalu banyak pembaharuan yang sedang diatur oleh 'kepala kantor' hingga menjejaskan sedikit tumpuan di awal tahun ini.
Bila dilihat dari blog rakan-rakan lain, rata-rata semuanya sama... Sibuk sangat hingga tak berupdate blog masing-masing.

Nasib Jop

Kesian Jop (kucing orenku) .. tangan kanannya yang patah sejak sebulan yang dulu masih tak baik lagi. Apa daya kami kerana selama dia sakit, ramai yang bagi teori .. kucing kalau sakit akan dapat pulih sendiri.
Walau tangan sebelah dah terkulai namun semangat untuk untuk berjalan makan angin tetap ada. Harap Jop akan cepat sihat macam dulu..

Saturday, January 2, 2010

1012~a fresh start

Ini blog baru saya dan tidaklah dibuka untuk bacaan umum. Ia hanya sekadar catatan peribadi terhadap satu perjalanan yang jauh. Saya mengharapkan sesuatu,
jika tidak besar.. biarlah tidak terlalu kecil.
jika hebat, biarlah ia terbentuk dengan sempurna.
Jika ini dapat membantu maka ia akan menjadi sesuatu yang dapat kami kenang sepanjang hayat.
Apa yang pasti perjalanannya jauh dan menuntut banyak pengorbanan, bukan dari saya tetapi dari semua.
Doakan kami agar kuat menempuh perjalanan panjang ini dan doakan juga agar ada sesuatu yang manisnya di akhir perjalanan ini.
Sesungguhnya kita hanya mampu berusaha dan hanya Allah swt yang akan menentukan..

Setahun yang berlalu ..

Tahun ini seperti tahun yang sebelumnya, saya tidak menghantar apa-apa ucapan atau 'wish' tahun baru kepada rakan mahupun saudara mara.
Saya hanya membalas email atau sms yang dihantar kepada saya sebagai tanda terima kasih saya kepada mereka dan keluarga.
Terlalu banyak yang perlu dirancang, diteliti sebelum mampu dilaksanakan sepanjang 2010 ini.

Ada kegagalan yang menyentap seketika ketenangan saya di tahun 2009.

Ada peristiwa yang sedikit sebanyak mengguris dan meninggalkan kesan calar yang belum pulih.

Ada peristiwa yang cukup menggembirakan dan telah melahirkan kesenangan di hati saya.

Ada peristiwa yang cukup sedih sehingga mampu menitiskan airmata bila saya kenang.

Ada rancangan yang masih tinggal rancangan kerana tiada susulan tindakan.

Ada rasa yang saya tidak dapat lepaskan seolah-olah saya seperti berdendam sesuatu.

Ada sisa marah dalam diri terhadap beberapa momen yang berlaku.

Ada rasa riang dan syukur kerana saya telah memilih untuk sesuatu yang baik.


Secara keseluruhannya, nyata saya mampu mengeluarkan lebih rasa kecewa dari gembira. Seolah banyak duka dari bahagia. Tetapi itu realitinya dalam hidup. Perkara yang tidak membahagiakan dan menyedihkan itu sukar dilepaskan. Yang membuat kita tersenyum dan riang itu kerap dilupakan. Malah saya mampu mengingat perkara yang mengecewakan itu lebih lama dari yang lain. Bukan berdendam tapi ingatan itu nyata tegar untuk dilupakan.

Thursday, December 24, 2009

Inilah Blau ..

Ini adalah gambaran yang kami dapat, hasil dari carian google.
Lihat lokasinya dan lihatlah apa yang telah disediakan.

Imej dan maklumat ini dari laman blog SK Blau ..

Di mana Blau...??

Kisah anak saudara yang telah diposting jauh ke Blau. Tidak pernah terlintas untuk pergi ke sana malah menyebutnya juga tidak pernah. Akhirnya bila dikhabarkan tentang kelayakan mendapat elaun sebanyak RM500 kerana berada di kawasan pedalaman, menyedarkan kami betapa jauhnya perjalanan beliau.

Tidak terlintas untuk membuat carian (menggoogle) apatah lagi untuk mencari gambar keadaan bakal tempat bertugasnya.
Maklumat awal SK Blau terletak dalam jajahan Gua Musang dan berada 70 KM dari pekan Gua Musang. Kami membayangkan jalan tanah merah dan laluan balak untuk sampai ke sana. Kami bayangkan keadaan sekolah yang daif terbina dari papan dan separa batu. Kami bayangkan tiada langsung kemudahan fizikal di sana. Semua gurunya lelaki dan hanya seorang Pembantu Pengurusan Muridnya perempuan.

Apa lagi yang boleh dikatakan dengan tempat yang kedudukannya jauh ke dalam. Apa lagi yang mampu difikir minda bila ia dikategorikan sebagai kawasan pedalaman satu. Muridnya semua dari kalangan orang asli yang kebanyakkannya tinggal jauh dari sekolah. Mereka tinggal di asrama. Mampukah beliau mengharung hari-hari mendatangnya di sana.

Tiada apa yang menyenangkan hati kami bila berbicara tentang posting ini. Tiada apa yang dapat memberi sedikit kelegaan dan mengurangkan beban minda bila memikir kisah Blau. Namun empunya badan kelihatan agak yakin untuk berada di sana.. cuma kami yang berada disekeliling beliau gusar dan bimbang.

Thursday, December 3, 2009

yipppss.. ada line le pulok!!

Kami dah sampai di Cameron Highland. Sejuk dan sentiasa lapar. Paling best, line internet tetap laju... sangat best betul!

Wednesday, December 2, 2009

Balik kampung..

Saya :
Seperti biasa, cuti akhir tahun yang panjang ini akan dimulai dengan menghabiskan tugasan-tugasan sekolah yang berbaki.
Sebaik mungkin, saya cuba menghabiskan setiap tugasan sebelum cuti bermula.. motifnya jelas : usah ganggu saya!!
Bukan kerana saya tidak mahu berada di sekolah tetapi jarak sekolah dan kampung yang jauh tidak akan memungkinkan saya untuk berulang alik menyelesaikan tugas tertunggak. Jika boleh saya tidak mahu nama saya disebut-sebut tetapi andai saya berhutang dengan orang pasti nama saya akan disebut.

Kami :
Perjalanan balik kampung kali ini akan bermula dengan pendakian ke Cameron Highland melalui Tapah. Walau asalnya kami ingin membawa atuk aka abahku namun nyata .. ajakan kami tidak berhasil. Puas dipujuk dan ditanya oleh kami dan senjata-senjata sulit kami (termasuk si bongsu Afis) namun jawapannya tetap sama. Afis siap mengajak atuk balik ke Penang kerana dia begitu concern bagaimana atuk bila tinggal sendirian..
Doakan semoga perjalanan dan segala urusan kami dipermudahkan ..

2 minggu tanpamu ..

Untuk tempoh sekurang-kurangnya 2 minggu .. kami akan mengharungi hari tanpanya.
Semua blog2 tidak akan di update dan ladang-ladang kami akan terbiar..
argghhh!! Sedih betul rasanya walau belum melalui saat-saat itu lagi.
Berfikiran positif, we'll find a way to deal with it..
Biar masa yang menentukan.

Tuesday, November 10, 2009

Aduh .. apa ni?

Ini kisah anak-anak sekarang yang asyik nak lebih dari orang lain. Siapa agaknya yang jadi mangsa?? Sapa lagi kalau bukan siibu ini, yang mula-mula penuh sabar memberi tunjuk ajar tapi kalau nak try buat sampai 4-5 lukisan maka terhakislah kesabaran itu.
Berjaya cikgu seninya mengambil 3 jam masaku di malam minggu itu...

arahan 1: abah kena ukirkan corak bunga dan daun.. corak lain tak nak!!
arahan 2: ajar macam mana nak guna warna air ni.. kakak tak tau nanti lukisan akak tak cantik!!
arahan 3: kena buat lagi skali ni .. (ulang 3 kali) sbb dia buat empat set semuanya.

Tetamu tak diundang..

Hari Ahad jam 3 petang, kami menerima tetamu tak diundang.. mujur ada mata yang melihat ia menyusur masuk. (amaran : kalau ada geli kat hewan menyusur ni .. tak yah lah tengok gambar yang kat bawah tu ..
Semuanya jadi kelam kabut,
yang baru nak melelapkan mata turut terbantut,
yang sedang menonton terus panik berdiri,
yang sedang asyik menanda kertas terus menerpa turun,

Satu jam berikutnya adalah masa kritikal yang menuntut kami agar peka dan berwaspada.
Alat stim yang dibeli bagi tujuan untuk pembersihan rumah dan untuk mandi wap telah diguna pada kali pertama. Tujahan wapnya berjaya menerjah ke ruang-ruang sempit seperti di belakang almari...
(amat berguna walau tak dinyata kegunaannya pada saat-saat getir ini..)
Dan akhirnya berkat kesabaran hubbyku menunggu, maka keluarlah kepala kecil ini mengintai keadaan. Kecil pada pandangan kita rupa-rupanya besar dan ganas. Tidak langsung kami duga saiznya sebegitu berdasarkan saiz kepalanya.

Syukur kerana kami berada di bawah lindunganNya dan lega kerana masalah ini dapat diatasi. Yang pasti ini bukanlah kali pertama, dan langkah berjaga-jaga perlu ditingkatkan.


Sunday, October 25, 2009

Minggu lagi sibuk..

Last week, banyak perkara telah dapat diselesaikan.

Jumaat - Ahad .. kami berada di Sabak Bernam.
Ahad - jam 12 kami dah berada di rumah dan jam 3 sudah bergerak menghantar si bujang pulang ke asramanya.

Isnin - jam 11 sudah berada dalam bas untuk ke tempat kursus di KL. ( pada masa ini, bengkak di hati dah mula menyurut, walau bengang tu masih sikit-sikit ada)

Rabu - jam 4 sudah sampai semula ke rumah.

Khamis - Tulis semula apa dapatan dan segala kerja yang perlu dibereskan (semuanya mengikut apa yang disuruh waktu kursus.. hmmmm tak sabo nak bagi kat orang yang sepatutnya ..:P)

Jumaat - Serah semua fail dan handouts pd orang itu dan ...... I'm freee now!! Phew.. lega and pleeeease dont ask me to carry out all your work ya .. maunya tukar jd raksaksa nanti.

Sabtu/Ahad - sangat seronok kerana duduk bermalas-malas shj di rumah .. Yahooo!!

Friday, October 16, 2009

Macam-macam ada - weeks ahead

Entah kenapa bila ada kerja / tugasan / family trip atau apa-apa saja, selalu datang pada waktu yang sama. Kalau tak de benda nak buat, menganga je tak tau nak buat apa..
Bengang pun ada bila ada benda datang so sudden dan terus kacau apa yang telah dirancang berbulan dulu.

16-18 ~ Family matters
19-21 ~ courses .. :( kena ganti orang
22-23 ~ Question papers / key in markah koku
24 ~ Last LDP cum JAT .. jamuan akhir tahun
26-28 ~ First meeting
29-11 ~ Marxxxx
12-14 ~ Last meeting

Phew ... menunggu hari biar semua-semua ni selesai..
Meredakan bengang yang ada atas banyak perkara yang memang menyakitkan hati ...