Monday, October 1, 2007

Dugaan Ramadhan..

Perginya seorang insan terdekat pada 14 Ramadhan lalu amat menginsafkan. Pertama kali saya berpeluang mengiringi perjalanan akhir hidup seorang insan. Terasa amat kerdil diri ini apabila berada di dalam keadaan ini. Saya sempat berdoa panjang seusai solat subuh moga perjalanan akhir hidup saya akan semudah apa yang saya lihat pada ketika itu. Pengalaman berada hampir dengan hari-hari terakhir seorang insan amat menginsafkan.

Tuesday, September 25, 2007

Al fatihah buat insan kerdil ..

Minggu ini kita dikejutkan dengan kezaliman yang tidak mampu ditatap mata, difikir minda apatah lagi bila membayangkan bahu-bahu yang memikul beban penderitaan atas kehilangan insan tersayang. Kehilangan dan perginya seorang anak berusia 8 tahun ini membuka mata kita dan menyedarkan kita dari mimpi yang indah selama ini, bahawa tiada apa yang selamat hendak kita pertaruhkan dalam kehidupan. Saat membaca berita kehilangannya, ketenangan kita turut teragut bersama apatah lagi bila kita mengenang anak-anak yang ada di depan kita sekarang ini. Selamatkah mereka dari angkara manusia durjana seperti ini. Semoga kita sentiasa dilindungi dari segala ujian di dunia ini ... Amin.

Tuesday, June 12, 2007

Sekilas Memori bersama Cikgu Jainah ... SK Muhibbahraya

Once a teacher.. always a teacher. Walau tujuan asal hanya ingin bercuti namun teringin sekali hendak melawat sekolah temanku ini. Akhirnya dapat juga melawat ke SK Muhibbahraya... dan bertemu dengan penyelaras PSS yang comel , Cikgu Jai. Kecil molek orangnya tetapi bila dilihat hasil kerjanya pasti berasa kagum. Kesempatan meluangkan masa di sini amat seronok dengan persekitarannya yang sangat selesa. Deretan majalah dan novel yang ada pasti dapat menarik rakan-rakan guru untuk ke sini. Kagum kerana sebahagian besar masanya di PSS hatta hari cuti pun beliau masih di sana. Segalanya tanpa pembantu PSS (selalunya seorang PAR) hanya mengharapkan bantuan dari rakan guru yang lain. Bagi saya Jai adalah contoh guru PSS yang bertuah kerana mendapat bantuan dari suami dan ahli keluarga yang lain. Deruan kolam kecil yang ada disudut ruang santai guru amat mendamaikan........ pasti kerja menyelenggara juga rumit dan memakan masa.

Kenangan Terindah ...


Pengalaman bertemu semula rakan karib yang terpisah sejak 13 tahun yang lalu amat menyeronokkan. Berpeluang ke Tawau setelah sekian lama mendengar keindahan bandar itu amat dinanti. Walau lima hari di sana namun tidak terhingga ucapan terima kasih yang ingin diluah buat teman (Cikgu Noorilayati dan En. Mahadi sekeluarga termasuklah pembantunya Normah) yang sudi menerima dan melayan kerenah saya dan Kak Long. Terasa seronok tak terhingga dapat bershopping di Pasar Gantung. Tak cukup sekali kami ulangi semula kemudiannya. Namun kehebatan sup payau tetap terasa hingga kini... kalau disini, mimpi ajelah dapat makan sup payau hari-hari. Banyak lagi kenangan yang ingin dicoret namun yang pasti 'Rom..' seakan-akan menggamit kami ke sana semula. teringat kata kak long andai mereka nak pindah semula ke Semenanjung... kami perlu ke sana semula untuk menumpang barang di kontena yang bakal dibawa pulang. Banyak kenangan di sana dan yang pasti akan jadi memori buatku dan kak long. Yang paling hebat bila dear husband yang memberi lampu hijau untukku ke sana. Kami pasti ke sana satu hari nanti bersama seluruh troop yang ada, jika ada kesempatan. InsyaAllah.

Thursday, May 24, 2007

Muhasabah Diri - Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi


Salam buat semua.
Saban hari ada saja bahan bacaan yang singgah di pembacaan kita. Saya amat menghargai masa yang dapat saya luangkan dengan membaca. Tak kira apa jua bahan yang ada.. dari novel mahupun sisa majalah edisi lama .. saya akan tetap luangkan masa saya.
Namun lewat pembacaan saya, hati dan minda tertarik pada artikel yang bertajuk di atas. berulang kali saya membacanya... sambil memutar senario masa kini. Saya ambil petikan dari majalah MIDI- 15 Mei ini..
Jika kejahatan dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam.
Jika kebaikan dibalas kebaikan ,itu adalah perkara biasa.
Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim.
Jika kejahatan dibalas kebaikan pula, itu adalah mulia dan tepuji.

Kita jangan selalu mengharap kerana mengharap tidak pasti tertunai tetapi kita boleh bersabar kerana kesabaran itu mengajar kita erti kehidupan.
Banyak lagi artikel menarik yang ada, nampaknya seperti biasa namun makna yang tersirat itu amat dalam dan penuh makna. Saya letakkan diri saya sebagai insan kecil yang masih belajar dan saya amat suka dengan frasa ' ini adalah antara benda baru yang saya belajar ... '. Diharap dengan sentiasa mengakui kekurangan diri akan membuat saya untuk terus berdiri dan mencari ruang untuk kekal mengejar ilmu.. Wassalam

Saturday, May 12, 2007

Bila kita semakin 'kerdil' ...


Semakin berpeluang kita mendalami sesuatu ilmu, semakin kerdil dan kecil rasanya diri. Itu yang saya rasa setiap kali saya mendapat ilmu baru. Semakin semarak juga semangat dalam diri agar ilmu dapat dipenuhi dan ditimba agar ia menjadi berguna dalam hidup. Jika boleh selagi diizin waktu dan keadaan saya ingin berada terus digelanggang ilmu ini dan bertarung selagi mampu.
Teringat pada pesan Bos saya.. jika ada peluang yang lalu didepan kita, kita harus mengambil peluang kerana kadang kala peluang yang ada itu hanya datang sekali. Saya pasti ingat pesan ini agar saya sentiasa 'alert' setiap kali peluang ini datang dan harapnya lorong peluang di depan saya akan terus terbuka .. sehingga di akhir kerjaya saya. Insyaallah ...

Wednesday, April 18, 2007

Bila kita me'mua'kan diri ......

Pengalaman menggunakan semula pengangkutan awam setelah puluhan tahun meninggalkannya membawa banyak refleksi di luar jangkaan, tanggapan pertama saya hanyalah untuk sampai ke destinasi setiap hari dengan selamat ... tetapi saban hari ia menjadi semakin menyeronokkan. Lantas saya teringat kepada anak-anak kita generasi kini yang lebih mengenali kereta atau van mahupun motorsikal dari bas dan komuter. Betapa kita secara tidak langsung memuakan mereka dengan kemewahan mampu milik ini sehingga mereka mungkin tidak dapat merasai pengalaman dan merasai juga semangat mengejar masa agar tidak ketinggalan. Hatta kini, hendak ke rumah saudara yang jaraknya kurang dari satu kilometer pun kita akan berkereta. Teringat zaman persekolahan saya ketika dimarahi oleh seorang konduktor bas yang saban masa saya rasakan tidak begitu menyukai pelajar-pelajar sekolah, maka ramailah yang menjadi musuh beliau sehingga kerap kali konduktor adalah orang yang kami cari dulu apabila menaiki bas. Setelah beberapa lama meninggalkan zaman persekolahan, ia menjadi sebahagian dari cerita indah kami tatkala bertemu.
Saya mahu anak-anak merasai pengalaman ini tetapi bila difikir semula ancaman keadaan tidak mengizinkan maka saya dan suami sepakat bahawa kami akan membawa mereka merasai sebahagian dari pengalaman kami ini dengan cara yang berbeza.
Maka bermulalah misi pertama iaitu membawa kelima-lima mereka (dari 3 hingga 12 tahun) menziarahi rumah ibu saudara yang jaraknya lebih kurang 1 kilometer dengan hanya berjalan kaki. Akhirnya kami yang menjadi mangsa kerana terpaksa mendukung yang bongsu setelah dia mogok tidak mahu berjalan.
Pelbagai reaksi yang keluar dari mulut mereka ... "Tak syoklah... ini lastlah kita jalan kaki datang sini ye .." (along- 12 thn), "Jauh betul ... lain kali angah tak mahu ikutlah .." (angah- 10 thn), "Aus sukalah tapi lagi best kalau dapat naik basikal datang sini .. (Firdaus- 7 thn), "Meen penat tapi best jugak" (Yasmin- 5 thn) dan Hafiz hanya larat berjalan kurang dari 200 m dan terus minta didukung.
Walau apapun, kami akan terus memikirkan misi-misi lain yang mungkin akan menjadi pengalaman buat kami apabila bertemu dan bercerita pada 25 tahun akan datang. Insyaallah. Wallahualam .....