Monday, August 24, 2009

Ramadhan kali ini ..

Semakin menginjak usia, masa lalu rasanya masih baru.
Dulu semuanya kelam kabut, mana nak disediakan juadah berbuka,
mana nak dilayan anak-anak yang masih belum reti berpuasa,
mana nak dilayan segala macam benda. Itu belum lagi saat mengingat waktu Hasif masih berusia setahun ... kami berdua dan atuk sahaja yang ada. Suami berada nun jauh di Segamat.

Ramadhan kali ini, semuanya berada di flow yang indah. Mungkin juga kerana minggu ini minggu cuti. Pukul lima baru nak masuk ke dapur, anak-anak semua dah berpuasa kecuali yang bongsu si hafiz ~ masih tak pandai mengawal nafsu makannya.

Yang kakak mengurus Yasmin ~ mudahnya melihat mereka berdua. Semuanya ada kakak untuk membantu. Dah berdua sahaja perempuan. Waktu mandi berdua, baju apa untuk dipakaipun kakak yang pilih, waktu makannya beradap, kena marah pun kakak yang marah.

Cepatnya masa beredar .. 4 tahun dulu, setiap kali sesi memotong kuku. Semua ambil giliran ikut susunan sama ada yang kecil dulu atau yang besar dahulu. Kini tinggal 3 orang shj yang masih memerlukan khidmat memotong kuku ~ baby boy besar tu kadang-kadang tumpang sekaki juga.

Lama-lama nanti tinggal kami saling memotong kuku antara kami. Hmmm .. mengulang musim-musim bulan madu mungkin.

Thursday, August 20, 2009

124 jam yang sangat panjang

Waktu sedang menikmati dinner malam tadi, isu Jop timbul lagi.
Jop masih tidak muncul, tidak pernah berlaku sebelum ini.
Atuk hanya menyatakan : Jop dah hilanglah tu ... ~ semua org tahu maksud hilang tu, atuk memberi hint agar jgn mengharap, mungkin Jop dah takde.
Semua orang diam kecuali si kepoh Hafiz .. Oh, ada orang dah curi Jop kita ye ..
Semua orang diam tak kata apa-apa.

Pagi tadi Jam 8, sebaik atuk membuka pintu depan, Jop melompat masuk.
Kemaruk gila nak cari makanan. Lapar le tu..

Dua kali diberi nasi dan ikan baru dia diam dan mula jilat bulu.
Lepas rilek sekejap, dia kalut nak keluar balik.
Ni gambar Jop yang hilang selama 124 jam... tapi tak kurus mana pun.
Hmmm .. Jop dah pandai bertuan dirumah lain.

Tuesday, August 18, 2009

4 hari tak balik

Kalau diikutkan dah dibolehkan untuk buat police report tapi masalahnya si kucing jantanku yang sangat ganteng ini sudah pandai mencari tuan di rumah lain. Jop dah 4 hari tak pulang.

Semua dah bising bertanya .. atuk bertanya pada cucu, anak bertanya pada ibu. Dah ibu terpaksalah pulak tanya kat abah walau tahu jawapannya confirm 'entah, tak perasan pulak'.

Esok kena buat operasi ala-ala search and rescue ni .. adeei Jop harap janganlah ko cedera ke sakit ke atau apa-apa je yang kurang baik.

Selalunya paling lama dia tak menjenguk rumah hanya sekitar 48 jam. Ini dah jadi satu kelainan ni bila Jop tak balik untuk melebihi 100 jam.

Kali ni kalau Jop balik
akan kami kuncikan dia dalam rumah.
Suka2 buat orang susah hati ..

Thursday, August 13, 2009

Istana kayangan

Pelbagai cabang emosi silih berganti mengambil tempat.

Adakah perpindahan ini akan membawa suasana dan aura bahagia ?
Adakah ini akan menjadi langkah yang lebih praktikal berbanding yang lama?
Adakah bebanan tangga itu akan menjadi halangan?

Yang baiknya ...
~Besar dan luas
~Sejuk dan nyaman
~Tersorok tetapi privacy
~Berangin dan luas pandangan

Yang kurang enaknya ...
~Tinggi dan melelahkan
~Jauh dan meletihkan
~Cantik tetapi tidak mesra
~Suka tetapi kurang seronok

Bila ada dua, kita kerap membanding. Mencari yang mana lebih baik, yang mana lebih selesa, yang mana dirasa lebih cocok dan akhirnya yang mana buat hati dan jiwa kita seronok.
Yang cantik tidak semestinya buat kita rasa bahagia, Yang kurang cantik itu kadangnya buat jiwa rasa tenang.

Jika ada pilihan lain, kita akan terus membanding sehingga akhirnya rasa bahagia itu terbit tanpa ada paksaan.

Pandangan pertama itu penting kerana itu adalah pandangan jujur, pandangan yang tanpa ada prejudis. Pandangan yang kita rasa secara semulajadinya tenang, bahagia dan menyeronokkan. Malangnya saya tidak merasa bahagia pada pandangan pertama saya hari ini.
Saya tidak jatuh hati pada apa yang dilihat pada kali pertama dan ada sebahagian diri yang ingin mencari yang lain.....

Andai ada yang lain, saya akan pergi kepada yang lain itu. Meninggalkan istana kayangan yang indah ini tetapi membebankan...
Andai ada pilihan, saya akan mempertimbangkan pilihan itu ..

Ini hanya entri merapu
berdasarkan senario perpindahan
ke tempat baru .. aarrrghh!!

Positif

Hari ini dikhabarkan yang keadaan k Zah sudah bertambah baik. Mungkin juga tidak memerlukan pembedahan di bahagian kepala yang mengalami pendarahan.
Semoga k Zah kuat dalam mengharungi dugaan ini, dan buat rakan-rakan diluar sana..
doakan agar k Zah cepat pulih dari kecederaan yang dialaminya.

Wednesday, August 12, 2009

Semoga sihat kembali ..

Sahabat dan rakan di tempat kerja menerima dugaan yang hebat pada awal minggu ini. Isterinya yang juga merupakan kenalan kami telah ditimpa kemalangan. Saat mendengar perkhabaran itu, kami bagai berada dalam kejutan. Kurang 1 km jaraknya dari rumah, kereta yang dipandu oleh isteri rakan kami ini aka kak Zah bertembung dengan sebuah lori yang sedang melakukan u-turn.

Saat entri ini ditulis, beliau masih berada dalam keadaan koma dengan kecederaan berat di kepala.

Ya Allah , berat sungguh dugaan ini .. apatah lagi bagi mereka yang berada disekeliling beliau. Si suami dan anak-anak terutamanya yang akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Semoga mereka diberikan kekuatan yang luar biasa dalam menghadapi saat-saat getir seperti ini.

Saya hanya bertanya khabar tentang keadaan kak Zah dari rakan-rakan, bukan tidak mahu bertanya sendiri kepada suaminya tetapi saya memikirkan agaknya berapa puluh kali dalam sehari si suami perlu menerangkan keadaan isteri tersayang kepada orang-orang yang menelefon beliau. Jika keadaan bertambah baik maka lapanglah dada beliau tatkala memberi perkhabaran tetapi jika keadaan sebaliknya maka pasti kita telah menambah beban emosinya. Cukuplah beliau melayan panggilan dan memberi penerangan kepada ahli keluarga tidak kira yang jauh mahupun yang dekat.

Marilah kita sama-sama mendoakan semoga kak Zah cepat sembuh seperti sediakala dan kembali menguntum senyum seperti kebiasaannya. Amin...