Wednesday, April 18, 2007

Bila kita me'mua'kan diri ......

Pengalaman menggunakan semula pengangkutan awam setelah puluhan tahun meninggalkannya membawa banyak refleksi di luar jangkaan, tanggapan pertama saya hanyalah untuk sampai ke destinasi setiap hari dengan selamat ... tetapi saban hari ia menjadi semakin menyeronokkan. Lantas saya teringat kepada anak-anak kita generasi kini yang lebih mengenali kereta atau van mahupun motorsikal dari bas dan komuter. Betapa kita secara tidak langsung memuakan mereka dengan kemewahan mampu milik ini sehingga mereka mungkin tidak dapat merasai pengalaman dan merasai juga semangat mengejar masa agar tidak ketinggalan. Hatta kini, hendak ke rumah saudara yang jaraknya kurang dari satu kilometer pun kita akan berkereta. Teringat zaman persekolahan saya ketika dimarahi oleh seorang konduktor bas yang saban masa saya rasakan tidak begitu menyukai pelajar-pelajar sekolah, maka ramailah yang menjadi musuh beliau sehingga kerap kali konduktor adalah orang yang kami cari dulu apabila menaiki bas. Setelah beberapa lama meninggalkan zaman persekolahan, ia menjadi sebahagian dari cerita indah kami tatkala bertemu.
Saya mahu anak-anak merasai pengalaman ini tetapi bila difikir semula ancaman keadaan tidak mengizinkan maka saya dan suami sepakat bahawa kami akan membawa mereka merasai sebahagian dari pengalaman kami ini dengan cara yang berbeza.
Maka bermulalah misi pertama iaitu membawa kelima-lima mereka (dari 3 hingga 12 tahun) menziarahi rumah ibu saudara yang jaraknya lebih kurang 1 kilometer dengan hanya berjalan kaki. Akhirnya kami yang menjadi mangsa kerana terpaksa mendukung yang bongsu setelah dia mogok tidak mahu berjalan.
Pelbagai reaksi yang keluar dari mulut mereka ... "Tak syoklah... ini lastlah kita jalan kaki datang sini ye .." (along- 12 thn), "Jauh betul ... lain kali angah tak mahu ikutlah .." (angah- 10 thn), "Aus sukalah tapi lagi best kalau dapat naik basikal datang sini .. (Firdaus- 7 thn), "Meen penat tapi best jugak" (Yasmin- 5 thn) dan Hafiz hanya larat berjalan kurang dari 200 m dan terus minta didukung.
Walau apapun, kami akan terus memikirkan misi-misi lain yang mungkin akan menjadi pengalaman buat kami apabila bertemu dan bercerita pada 25 tahun akan datang. Insyaallah. Wallahualam .....