Monday, October 1, 2007

Dugaan Ramadhan..

Perginya seorang insan terdekat pada 14 Ramadhan lalu amat menginsafkan. Pertama kali saya berpeluang mengiringi perjalanan akhir hidup seorang insan. Terasa amat kerdil diri ini apabila berada di dalam keadaan ini. Saya sempat berdoa panjang seusai solat subuh moga perjalanan akhir hidup saya akan semudah apa yang saya lihat pada ketika itu. Pengalaman berada hampir dengan hari-hari terakhir seorang insan amat menginsafkan.

Tuesday, September 25, 2007

Al fatihah buat insan kerdil ..

Minggu ini kita dikejutkan dengan kezaliman yang tidak mampu ditatap mata, difikir minda apatah lagi bila membayangkan bahu-bahu yang memikul beban penderitaan atas kehilangan insan tersayang. Kehilangan dan perginya seorang anak berusia 8 tahun ini membuka mata kita dan menyedarkan kita dari mimpi yang indah selama ini, bahawa tiada apa yang selamat hendak kita pertaruhkan dalam kehidupan. Saat membaca berita kehilangannya, ketenangan kita turut teragut bersama apatah lagi bila kita mengenang anak-anak yang ada di depan kita sekarang ini. Selamatkah mereka dari angkara manusia durjana seperti ini. Semoga kita sentiasa dilindungi dari segala ujian di dunia ini ... Amin.

Tuesday, June 12, 2007

Sekilas Memori bersama Cikgu Jainah ... SK Muhibbahraya

Once a teacher.. always a teacher. Walau tujuan asal hanya ingin bercuti namun teringin sekali hendak melawat sekolah temanku ini. Akhirnya dapat juga melawat ke SK Muhibbahraya... dan bertemu dengan penyelaras PSS yang comel , Cikgu Jai. Kecil molek orangnya tetapi bila dilihat hasil kerjanya pasti berasa kagum. Kesempatan meluangkan masa di sini amat seronok dengan persekitarannya yang sangat selesa. Deretan majalah dan novel yang ada pasti dapat menarik rakan-rakan guru untuk ke sini. Kagum kerana sebahagian besar masanya di PSS hatta hari cuti pun beliau masih di sana. Segalanya tanpa pembantu PSS (selalunya seorang PAR) hanya mengharapkan bantuan dari rakan guru yang lain. Bagi saya Jai adalah contoh guru PSS yang bertuah kerana mendapat bantuan dari suami dan ahli keluarga yang lain. Deruan kolam kecil yang ada disudut ruang santai guru amat mendamaikan........ pasti kerja menyelenggara juga rumit dan memakan masa.

Kenangan Terindah ...


Pengalaman bertemu semula rakan karib yang terpisah sejak 13 tahun yang lalu amat menyeronokkan. Berpeluang ke Tawau setelah sekian lama mendengar keindahan bandar itu amat dinanti. Walau lima hari di sana namun tidak terhingga ucapan terima kasih yang ingin diluah buat teman (Cikgu Noorilayati dan En. Mahadi sekeluarga termasuklah pembantunya Normah) yang sudi menerima dan melayan kerenah saya dan Kak Long. Terasa seronok tak terhingga dapat bershopping di Pasar Gantung. Tak cukup sekali kami ulangi semula kemudiannya. Namun kehebatan sup payau tetap terasa hingga kini... kalau disini, mimpi ajelah dapat makan sup payau hari-hari. Banyak lagi kenangan yang ingin dicoret namun yang pasti 'Rom..' seakan-akan menggamit kami ke sana semula. teringat kata kak long andai mereka nak pindah semula ke Semenanjung... kami perlu ke sana semula untuk menumpang barang di kontena yang bakal dibawa pulang. Banyak kenangan di sana dan yang pasti akan jadi memori buatku dan kak long. Yang paling hebat bila dear husband yang memberi lampu hijau untukku ke sana. Kami pasti ke sana satu hari nanti bersama seluruh troop yang ada, jika ada kesempatan. InsyaAllah.

Thursday, May 24, 2007

Muhasabah Diri - Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi


Salam buat semua.
Saban hari ada saja bahan bacaan yang singgah di pembacaan kita. Saya amat menghargai masa yang dapat saya luangkan dengan membaca. Tak kira apa jua bahan yang ada.. dari novel mahupun sisa majalah edisi lama .. saya akan tetap luangkan masa saya.
Namun lewat pembacaan saya, hati dan minda tertarik pada artikel yang bertajuk di atas. berulang kali saya membacanya... sambil memutar senario masa kini. Saya ambil petikan dari majalah MIDI- 15 Mei ini..
Jika kejahatan dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam.
Jika kebaikan dibalas kebaikan ,itu adalah perkara biasa.
Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim.
Jika kejahatan dibalas kebaikan pula, itu adalah mulia dan tepuji.

Kita jangan selalu mengharap kerana mengharap tidak pasti tertunai tetapi kita boleh bersabar kerana kesabaran itu mengajar kita erti kehidupan.
Banyak lagi artikel menarik yang ada, nampaknya seperti biasa namun makna yang tersirat itu amat dalam dan penuh makna. Saya letakkan diri saya sebagai insan kecil yang masih belajar dan saya amat suka dengan frasa ' ini adalah antara benda baru yang saya belajar ... '. Diharap dengan sentiasa mengakui kekurangan diri akan membuat saya untuk terus berdiri dan mencari ruang untuk kekal mengejar ilmu.. Wassalam

Saturday, May 12, 2007

Bila kita semakin 'kerdil' ...


Semakin berpeluang kita mendalami sesuatu ilmu, semakin kerdil dan kecil rasanya diri. Itu yang saya rasa setiap kali saya mendapat ilmu baru. Semakin semarak juga semangat dalam diri agar ilmu dapat dipenuhi dan ditimba agar ia menjadi berguna dalam hidup. Jika boleh selagi diizin waktu dan keadaan saya ingin berada terus digelanggang ilmu ini dan bertarung selagi mampu.
Teringat pada pesan Bos saya.. jika ada peluang yang lalu didepan kita, kita harus mengambil peluang kerana kadang kala peluang yang ada itu hanya datang sekali. Saya pasti ingat pesan ini agar saya sentiasa 'alert' setiap kali peluang ini datang dan harapnya lorong peluang di depan saya akan terus terbuka .. sehingga di akhir kerjaya saya. Insyaallah ...

Wednesday, April 18, 2007

Bila kita me'mua'kan diri ......

Pengalaman menggunakan semula pengangkutan awam setelah puluhan tahun meninggalkannya membawa banyak refleksi di luar jangkaan, tanggapan pertama saya hanyalah untuk sampai ke destinasi setiap hari dengan selamat ... tetapi saban hari ia menjadi semakin menyeronokkan. Lantas saya teringat kepada anak-anak kita generasi kini yang lebih mengenali kereta atau van mahupun motorsikal dari bas dan komuter. Betapa kita secara tidak langsung memuakan mereka dengan kemewahan mampu milik ini sehingga mereka mungkin tidak dapat merasai pengalaman dan merasai juga semangat mengejar masa agar tidak ketinggalan. Hatta kini, hendak ke rumah saudara yang jaraknya kurang dari satu kilometer pun kita akan berkereta. Teringat zaman persekolahan saya ketika dimarahi oleh seorang konduktor bas yang saban masa saya rasakan tidak begitu menyukai pelajar-pelajar sekolah, maka ramailah yang menjadi musuh beliau sehingga kerap kali konduktor adalah orang yang kami cari dulu apabila menaiki bas. Setelah beberapa lama meninggalkan zaman persekolahan, ia menjadi sebahagian dari cerita indah kami tatkala bertemu.
Saya mahu anak-anak merasai pengalaman ini tetapi bila difikir semula ancaman keadaan tidak mengizinkan maka saya dan suami sepakat bahawa kami akan membawa mereka merasai sebahagian dari pengalaman kami ini dengan cara yang berbeza.
Maka bermulalah misi pertama iaitu membawa kelima-lima mereka (dari 3 hingga 12 tahun) menziarahi rumah ibu saudara yang jaraknya lebih kurang 1 kilometer dengan hanya berjalan kaki. Akhirnya kami yang menjadi mangsa kerana terpaksa mendukung yang bongsu setelah dia mogok tidak mahu berjalan.
Pelbagai reaksi yang keluar dari mulut mereka ... "Tak syoklah... ini lastlah kita jalan kaki datang sini ye .." (along- 12 thn), "Jauh betul ... lain kali angah tak mahu ikutlah .." (angah- 10 thn), "Aus sukalah tapi lagi best kalau dapat naik basikal datang sini .. (Firdaus- 7 thn), "Meen penat tapi best jugak" (Yasmin- 5 thn) dan Hafiz hanya larat berjalan kurang dari 200 m dan terus minta didukung.
Walau apapun, kami akan terus memikirkan misi-misi lain yang mungkin akan menjadi pengalaman buat kami apabila bertemu dan bercerita pada 25 tahun akan datang. Insyaallah. Wallahualam .....

Monday, March 26, 2007

Bagai Aur dan Tebing .....


Bila keadaan memerlukan kita berkorban, sanggupkah kita mengorbankannya?? Adat berkawan kita perlu saling membantu... tetapi di era kita mengejar 'glam' dan pangkat, adakah keadaan ini dikira masih relevan?

Adakalanya kita merasakan kawan bisa menjadi lawan. Masih wujudkan keikhlasan bila sesuatu diajar tetapi masih ada yang disorok. Lantas teman dan rakan baik bertukar menjadi musuh, satu persahabatan yang selama ini dijaga dengan baik bertukar rupa menjadi medan permusuhan. Lumrah kehidupan satu saat kita bersuka dan kemudiannya duka mengiringi perjalanan. Perit jeih perjalanan lewat 6 tahun yang lalu terasa masih baru. Bertemu teman dan sahabat yang masih segar dalam ingatan, saat bersusah dan akhirnya mengecapi kejayaan.

Whenever we have the chance we should treasure the memories. Akhir kalam andai ingin menjadi aur dan tebing .. kita perlu saling ingat-mengingati, beri-memberi dan lupa-melupai. Think about it!!!



** Kak A'h dan kak Laily- do you still remember those days??

Friday, March 9, 2007

Bersara di usia EMAS


Desas desus hebat memperkatakan tentang usia persaraan dicadangkan agar dilanjutkan. Terdetik dihati kala berita ini dibaca, apakah rupa dan upaya kita disaat usia itu tiba.
Mampukah kita menjalankan tugas sebaik sekarang, mampukah kita bergerak sepantas sewaktu muda dahulu dan dapatkah kita melangkah seiring dengan pelajar-pelajar kita?
Saya secara peribadi sebagai seorang pendidik diusia 30-an, sudah dapat menjangka cabaran yang mungkin akan saya tempohi jika berkerja dilewat usia 6o. Bila agaknya masa saya untuk diri sendiri jika saya terus bekerja selewat usia itu walau dianugerahkan tahap kesihatan yang baik. Mencecah usia itu juga bermakna saya bertugas selama 38 tahun, berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar, rakan-rakan dan juga pentadbir.
Syukur tidak terkira jika saya masih bebas dari sebarang ancaman penyakit berbahaya seperti sakit jantung dan darah tinggi. Teringat pada kisah seorang rakan guru kita tidak lama dulu yang menghembuskan nafasnya di dalam kelas, di hadapan pelajar beliau dalam keadaan menangkup dimeja. Betapa hebatnya pengorbanan seorang guru yang terus menidakkan sakit yang dialami demi tugas. Al-fatihah untuk arwah rakan guru kita ini moga roh beliau dicucuri rahmat.
Natijahnya, mampukah kita terus berada dialam ini ... saya mahu masa untuk diri, suami dan keluarga jika diizinkan pada seawal usia 50 dan bukannya 60. Kerjaya ini menuntut seluruh tumpuan kita dan saya mahu saya terus fokus menjalankan tugas tetapi tidak sehingga usia emas.
wassalam

Perguruan - antara rela dan terpaksa


Apabila kita menetapkan matlamat untuk menjadi seorang pendidik, apakah agaknya yang tersirat di hati? Adakah ini satu-satunya cita-cita yang diimpi atau lebih kepada desakan untuk terjun ke alam pekerjaan. Hanya kita yang mampu memberikan jawapan yang tepat dari hati sendiri.
Walau apapun cubalah hayati pidato ini agar diri kita sentiasa dekat pada tanggungjawab yang diamanahkan.

Profesion perguruan suatu yang bernilai tinggi.
mohd. fadzli b Ismail



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang dikasihi Tuan Guru Besar, guru-guru, para ibu bapa serta pelajar-pelajar sekalian. Tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah "Profesion Perguruan Adalah Suatu Yang Bernilai Tinggi".
Sesungguhnya para pendidik pada hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara dalam mewujudkan perpaduan kaum. Pendidik pada hari ini telah membuktikan bahawa mereka telah mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.
Para hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,
Guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi. Pendidik dari kacamata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, alim atau ulamak. Mereka berfungsi bukan saja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat. Tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan Allah. Perpaduan kaum dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai–nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama.
Para hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,
Para pendidik juga berperanan menerapkan nilai kerjasama dan toleransi di kalangan pelajar. Jika kita lihat, orang-orang Islam telah diikat oleh satu peraturan supaya hidup berjiran dan bersahabat dengan mereka. Hak jiran tidak boleh dikurangi dan tidak boleh boleh dilanggar sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W dalam pembentukan negara Islam. Dengan ini, terciptalah satu masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan demi mewujudkan kebahagiaan bersama dalam satu masyarakat dan satu negara. Sikap toleransi yang diterapkan oleh guru dapat membentuk hubungan yang baik dalam masyarakat yang mampu melahirkan integrasi nasional.
Pada hari ini, marilah kita mengenang sumbangan para guru kepada anak bangsa di negara kita. Guru merupakan golongan pendidik yang banyak berjasa serta menabur bakti untuk memberi pendidikan kepada anak-anak kita. Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan para pelajar harus dan wajar memberi penghormatan serta pengiktirafan yang tertinggi atas pengorbanan dan sumbangan guru-guru mereka yang sentiasa bertungkus lumus tanpa mengenal penat lelah mendidik anak bangsa kita. Kita juga harus meletakkan martabat guru pada kedudukan yang tinggi dan mulia kerana para guru adalah penentu masa depan generasi muda. Prestasi, imej dan kualiti perkhidmatan mereka yang cemerlang akan melahirkan pelajar yang cemerlang dan seterusnya akan membentuk sebuah masyarakat yang maju dan cemerlang juga. Golongan pendidik adalah seperti lilin, membakarkan diri demi menerangi orang lain. Oleh sebab itu profesion guru disanjung tinggi oleh masyarakat.
Pada hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,
Kita perlu sama-sama merealisasikan Wawasan 2020 seperti yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad. Kerajaan menghargai sumbangan guru dengan mengistiharkan tanggal 16 Mei pada setiap tahun bermula dari Tahun 1975 sebagai Hari Guru. Ini salah satu usaha kerajaan untuk mengiktiraf dan mengenang jasa-jasa baik para guru. Saya berharap para guru akan terus berusaha untuk menyemaikan dan menyuburkan budaya ilmu di kalangan anak-anak agar kita dapat mencapai sebuah negara yang maju dan unggul pada masa depan.
Guru ialah orang yang menyampaikan ilmu kepada anak-anak kita supaya menjadi orang yang berguna kepada agama, masyarakat, bangsa dan negara. Ilmu pengetahuan merupakan salah satu alat terpenting yang amat berkesan dalam kehidupan manusia bagi mencapai kebahagian hidup, sama ada di dunia mahupun di akhirat. Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketaqwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit. Allah telah meletakkan orang yang beriman dan berilmu ke tahap yang paling tinggi, seperti yang ditegaskan oleh Al-Quran:
“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat”
Mereka yang berilmu diberi kedudukan yang paling tinggi serta dijadikan sebagai saksi kepada manusia lain serta Allah dan para malaikat. Mereka juga diberi kedudukan yang teristimewa sesudah para nabi, khususnya umat Rasulullah S.A.W. Mereka diberikan tanggung-jawab untuk menyampaikan seruan, memimpin umat dan mentadbirkannya selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Dengan kata lain, mereka sebagai pewaris yang mempusakai tugas Rasulullah S.A.W selepas kewafatan baginda.
Sidang Hadirin Yang Di Hormati Sekelian,
Imam Ghazali menyatakan, tidak ada martabat yang lebih tinggi daripada martabat kenabian dan tidak ada kemulian yang lebih mulia daripada menjadi pewaris martabat kenabian. Kelebihan ilmu pengetahuan juga dapat ditanggapi daripada perutusan Rasulullah S.A.W. Disamping menjadi Rasul, baginda juga berperanan sebagai seorang guru dan pendidik. Allah menegaskan:
Ertinya: Maka sesungguhnya kewajipan Rasul kami hanyalah menyampaikan amanat Allah dengan terang.
Rasulullah s.a.w juga bersabda yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:
Ertinya: Sesungguhnya aku diutus sebagai seorang guru.

Bak kata pepatah jasa guru umpama air mengalir dari anak sungai hingga ke dasar lautan.
Merujuk kepada Al-Quran Al-Karim, Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Mujaadilah ayat 11 yang bermaksud :
"Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Melalui ayat itu diperjelaskan tentang martabat dan kedudukan tinggi dan mulia para ulamak. Pendidikan adalah aset penting yang menghala tuju pembangunan negara serta aset mahal dalam pembinaan minda manusia serta alat untuk mewujudkan jati diri atau keperibadian yang unggul.
Sidang Hadirin Yang Di Hormati Sekalian,
Bidang pendidikan sentiasa berkembang dan mengalami perubahan mengikut tuntutan zaman, perkembangan pesat percantuman teknologi-teknologi telekomunikasi dan internet serta globalisasi, dunia telah banyak membawa banyak cabaran kepada kita. Kita tidak dapat menyangkal betapa cepatnya IT merubah dunia pembelajaran umpamanya muncul pembelajaran melalui 'online'. Para guru pada hari ini telah bersikap produktif, proaktif dan responsif terhadap perkembangan kecanggihan teknologi yang telah banyak mengajar anak bangsa kita supaya menjadi satu bangsa yang maju. Ilmu dan kemahiran dalam teknologi info-komunikasi yang dikuasai guru dapat digunakan sebagai pemangkin ke arah menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti. Sebagai pemangkin, guru menggunakan teknologi info-komunikasi bukan hanya untuk menyampaikan ilmu di dunia semata-mata tetapi juga untuk meraih kepentingan ilmu akhirat kerana pendidikan berkualiti hanya akan dapat dicapai melalui keseimbangan dalam kedua-dua ilmu tersebut. Tahniah diucapkan kepada para guru!
Penguasaan ilmu yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi, insya-Allah akan dapat melahirkan generasi yang berilmu, bertakwa, berkualiti, mampu bersaing dan bersesuaian dengan kehendak pergolakan dunia pada alaf baru ini.
Sesungguhnya Allah SWT telah mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu di kalangan kita semua. Oleh yang demikian, profesion perguruan adalah merupakan satu profesion yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT dan sepatutnya kita menyanjung tinggi terhadap jasa yang mereka curahkan kepada anak bangsa kita. Ini telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firmannya di dalam Surah Az-Zumar ayat 9 yang bermaksud;
"Katakanlah : Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal sahajalah yang dapat menerima pelajaran"
Akhir sekali, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa profesion perguruan ini adalah suatu yang bernilai tinggi. Marilah sama-sama kita tingkatkan martabat ini di mata masyarakat demi merealisasikan sebuah negara yang mempunyai bangsa yang terkenal dengan kekayaan ilmuannya di mata dunia.
Saya akhiri pidato saya pada hari ini dengan serangkap pantun :

Tetak buluh panjang sepuluh,
Jangan dijolok sarang tebuan,
Angkat tangan jari sepuluh,
Salah silap harap maafkan.

Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu adalah dari kelemahan saya sendiri, saya sudahi dengan ucapan, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah.

Salam untuk semua.

Thursday, March 8, 2007

THE CHALLENGE

The demand for new teachers is growing as education changes rapidly and the number of school-age children increases. Education reform is taking place across the country. New federal and state initiatives are encouraging all schools, teachers and students to strive to be the best in the world. These changes are creating new challenges as well as new opportunities for prospective teachers.
Veteran teachers will tell you that teaching is difficult, wonderful, exhausting, fun, stressful, enlightening-and rewarding beyond compare. Teaching requires enormous patience. There is no ready-made formula for good teaching. Studies on effective teaching demonstrate, on the contrary, there are nearly as many successful styles as there are successful teachers. But there are some qualities in good teachers on which nearly everyone agrees. Candidates for teaching should be among the highest academic performers. Good teachers are fair to their students; they are interested in ideas; they believe that teaching and learning are important. They have a strong commitment to democracy and social progress. Good teachers want to make a difference.
If you are interested in this exciting, everchanging field, you need to be aware that decisions about hiring teachers are made by local school districts, and requirements for entering the teaching profession are set by each state individually This means that you will need to consult a variety of resources to get the specific information you want. Preparing to Become a TeacherBecoming a teacher requires at least a bachelor's degree, usually related to the field in which you plan to teach, and in most states some form of advanced training is needed. Today's classrooms present teachers with more challenges and therefore demand a deeper understanding of successful classroom practices. Dedication and a desire to help children are important, but teachers also need a strong academic background and solid professional preparation.

By: Albert Einstein

Perbaiki diri- satu usaha berterusan


Berada dalam arus peredaran adalah satu keperluan. Tetapkan niat agar kita sentiasa berada di landasan yang benar. Jika ada kekurangan diri, masih ada ruang untuk diperbaiki. Pokok persoalannya ada dalam diri masing-masing. Kita manusia yang tak dapat lari dari kesilapan diri tetapi dalam usaha menjauhkan diri dari kesilapan-kesilapan lain, kita seharusnya bersedia dengan senjata ilmu.

Jika telah lupa pada senjata awal yang dibekalkan kepada kita lewat tahun-tahun yang lalu, bolehlah kita sama-sama menyiapkan diri dengan senjata pedagogi. Layari : http://ms.wikipedia.org/wiki/pedagogi. Selamat membaca.

Belajar dari pengalaman ......

Situasi 1

Pelajar dakwa cedera dipukul guru
MERSING 17 Feb. - Seorang pelajar tingkatan empat Mohd. Suhaizi Mohd. Sanim, mendakwa dipukul oleh guru sekolahnya sehingga mengalami kecederaan serius di muka, lengan dan siku kerana tidak membawa buku tulis.
Pelajar tersebut mendakwa turut diterajang dan dihempas ke lantai oleh guru berkenaan.
Kejadian yang berlaku pada 10 Februari lalu di Sekolah Menengah Anjung Batu di sini dimaklumkan kepada kakak pelajar berkenaan
.


Refleksi : Laporan dari keratan Berita Harian ini jelas menunjukkan bahawa tindakan guru ini di 'highlight' sebagai satu kesalahan walaupun cerita sebenar di sebalik kejadian ini tidak didedahkan. Guru dihukum seratus peratus di atas tindakannya dan khalayak pembaca gagal menyelami kejadian sebenar yang berlaku.

Situasi 2
Seorang murid tahun satu patah tulang bahagian tengah tapak tangan kanannya selepas dikatakan dipukul oleh seorang guru sebagai hukuman kerana bising dalam kelas.Dalam kejadian yang berlaku dua minggu lepas itu, Aiman Kamila dari Sekolah Kebangsaan Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah turut terseliuh satu jarinya kerana dipukul 10 kali oleh guru berkenaan dengan kayu.

Refleksi : Datuk Seri Hishammuddin bagaimanapun berkata kejadian seperti itu tidak menggambarkan sikap keseluruhan 300,000 guru yang mengajar di seluruh negara yang majoritinya berkebolehan, berdisiplin dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kerjaya mereka. Mungkinkah tekanan demi tekanan yang diterima oleh guru saban hari memungkinkan kita mengambil tindakan seperti ini.

Tugas tetap tugas namun sedikit pembelaan dapat melegakan gusar yang bertamu dihati kita ... fikirkan ...



Guru Membentuk Manusia Beradab




Meskipun dipukul oleh pelajar dan diugut hingga membahayakan nyawa, guru tetap melaksanakan tugas dengan penuh hikmah, positif serta yakin tindakan yang dilakukan, di samping sabar menerima kenyataan biarpun pahit untuk ditelan.
WALAU apapun kritikan terhadap profesion perguruan, tugas dan fungsi guru tetap dipandang mulia, apatah lagi usahanya menjadikan manusia lebih beradab melalui proses pembudayaan ilmu. Bertepatan dengan fungsi guru itu sendiri, satu majlis pelancaran Hari Guru peringkat negeri Kedah telah disempurnakan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah pada 21 Mei 2006 bertempat di Dewan Seri Negeri.
Meskipun dipukul oleh pelajar dan diugut hingga membahayakan nyawa, guru tetap melaksanakan tugas dengan penuh hikmah, positif serta yakin tindakan yang dilakukan, di samping sabar menerima kenyataan biarpun pahit untuk ditelan. Saidina Ali telah berpesan, didiklah generasi hari depan dengan ilmu yang berkembang sezaman dengannya, ilmu yang memberi manfaat dan berguna, bukan sahaja membangunkan minda manusia, tetapi juga fitrah insani, titah KDYMM Tuanku Sultan Kedah di majlis itu.

Antara tanggungjawab dan desakan sekeliling




Sikap ibu bapa - Sekat peranan guru Noh Omar (kiri) beramah mesra dengan beberapa peserta selepas merasmikan Seminar Keluarga Kebangsaan: Isu-isu Dalam Institusi Keluarga di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Permata HatiOleh NOOR AZMAH IBRAHIMSering kali kita mendengar keluhan guru-guru yang bukan sahaja dibebani tugas, tetapi juga masalah disiplin pelajar yang semakin berleluasa.
Fenomena seperti kereta kena calar, tayar sering dipancitkan malah pelana motosikal dibelah dua oleh pelajar sering berlaku terutama pada guru disiplin.
Lebih serius, pelajar bukan sahaja melawan secara berdepan, malah ibu bapa turut campur tangan dengan menyerang guru atau membuat laporan polis apabila anak dirotan atau dipukul.
Walhal, apa yang dilakukan oleh guru adalah setimpal dengan kesalahan-kesalahan disiplin sebagaimana yang termaktub di dalam peraturan sekolah.
Apa yang menghairankan, ibu bapa sebegini mudah pula menunding jari kepada pihak sekolah atau sistem pendidikan apabila anak-anaknya gagal dibentuk.
Kononnya guru-guru malas berusaha, sementara sukatan mata pelajaran kurang sesuai atau tidak berkesan.
Sedangkan, mereka lupa bahawa sikap yang dibawa oleh anak-anak ke sekolah adalah berpunca daripada didikan mereka di rumah.
Di samping kegagalan tersebut, tindakan-tindakan mereka juga menghalang para guru untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik.
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noh Omar berkata, kecenderungan ibu bapa untuk campur tangan keterlaluan dalam urusan mendisiplinkan pelajar di sekolah memburuk lagi situasi.
Sikap suka melibatkan pihak polis dan undang-undang apabila anak dirotan atau dihukum menimbulkan kesan negatif bukan sahaja di kalangan guru, tetapi anak-anak itu sendiri.
``Tujuan guru bertindak menghukum seperti merotan dan sebagainya adalah untuk mendidik dan mendisiplinkan anak-anak kita.
``Malangnya kebanyakan ibu bapa sekarang suka menyerang guru termasuk secara fizikal. Lebih teruk, perkara yang sepatutnya diselesaikan secara aman melibatkan polis dan mahkamah,'' katanya.

Situasi dan reaksi

Kita mengalami pelbagai situasi yang berlaku secara spontan di dalam kelas. Tanpa disedari kita didesak untuk membuat keputusan tanpa campur tangan orang lain. Kebijaksanaan kita dinilai melalui cara dan pemilihan jalan penyelesaian yang sesuai. Mengapa ia dianggap penting dalam usaha untuk menjadi seorang guru atau pendididik yang disegani oleh pelajar dan rakan sekerja.


Pengalaman beraksi di hadapan pelajar selama bertahun-tahun mematangkan perjalanan karier seseorang guru ketika menangani situasi di dalam kelas. Adakah ini satu hakikat yang perlu dihadapi oleh guru? Secara realitinya pengalaman yang kita rasai tidak sama antara satu sama lain. Kecekapan kita bertindak adalah ekoran dari kebijaksanaan kita memilih jalan penyelesaian yang berlaku. Sedikit kesilapan yang tidak kita duga di dalam memilih jalan penyelesaian akan mengakibatkan kesan yang amat buruk bukan sahaja terhadap karier individu seseorang tetapi juga melibatkan nama dan imej sekolah.





Pengalaman dari rakan-rakan pendidik yang lain mampu mematangkan diri kita agar apa jua tindakan yang diambil selepas ini tidak akan mengundang bencana pada diri kita sendiri. Satu kesilapan akibat dari tindakan yang terburu-buru akan memadamkan bertahun jasa dan pengorbanan yang telah kita buat.