Wednesday, May 28, 2008

JOM balik kampung ..



















Ini yang kami tunggu-tunggu, saat dapat pulang menjenguk kampung. Itu untungnya kami yang menetap di Melaka maka jadinya Pulau Pinang jadi kampung kami. Walau hanya menumpang balik ke kampung orang (suami saya org sana) tapi seronoknya tak boleh nak cakap. Anak-anak jangan ceritalah. Sebelum cuti lagi dah ingatkan tentang program balik kampung. Yang pasti perjalanan 5-6 jam akan ditempuhi dengan penuh keseronokkan ... dan keceriaan.

Tuesday, May 27, 2008

Pandang saja ke depan, jangan pandang belakang

Satu perkara biasa bila kita diminta memandang ke depan, usah dikenang peristiwa yang lepas malah melangkah untuk sentiasa mencari yang terbaik, mungkin yang lebih baik dari apa yang kita ada hari ini. Namun apa yang ada dibelakang kita .. our past .. our bitter sweet memories .. atau apa jua yang kita panggil adalah sebahagian dari masa lalu yang telah kita hadapi. Banyak yang boleh kita perolehi dari masa lalu selain dari pengalaman yang mematangkan hidup. Yang pasti apa yang telah kita lalui tidak akan sama rasanya walau kita mengalaminya pada kali kedua.
Nilai kepuasan yang subjektif ini mungkin relevan dengan pentingnya sesuatu event itu kepada kita. Jika ia lebih penting maka kita akan mengingatinya lebih lama akibat dari kesan keseronokkan/kesedihannya. Sejak bermulanya 2008, saya dan suami berazam untuk menghubungkan semula rakan-rakan kolej di Maktab Perguruan yang telah lama terpisah. Agak 14 tahun tidak bertemu dan tidak bertanya khabar .. entah bagaimana agaknya mereka maka kenangan zaman lalu banyak memeriahkan alam blog kami. Pelbagai reaksi terakam malah ada yang ketika pertama kali berjumpa hanya gelak tawa dan pelukan mesra yang mampu terluah tanda betapa bersyukurnya kepada yang Satu ... kita masih ada peluang bertemu, bermesra dan berkenal semula.
Maka nilai persahabatn itu rasanya kembali kukuh terjalin dan lebih indah kita berpeluang mengenalkan ahli keluarga masing-masing kepada teman yang lain. Semoga kita dikurniakan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat, diberikan tahap kesihatan yang baik dan dipanjangkan usia selain rezeki yang melimpah ruah untuk kita kongsi bersama. Wassalam...

Sunday, May 25, 2008

Akan hilangkah kampungku .. Part 1

Berita yang penuh emosi dan tragis ini bermula pada awal bulan Mei yang lepas apabila diberitahu yang tanah dikampungku akan diambil untuk projek laluan jalan 4 lorong dan landasan keretapi berkembar dari Pulau Sebang ke Batu Berendam oleh kerajaan negeri. Bayangkan berapa banyak kampung-kampung tradisi yang akan lenyap kerana projek yang kononnya untuk generasi akan datang. Yang lebih mengharukan penempatan semula akan dibuat bagi tujuan ini. Projek bilion ringgit yang akan dilaksanakan oleh kerajaan pilihan rakyat sejurus habis pilihanraya. Boleh dikatakan sebagai hadiah kerana memilih pimpinan sekarang.
Pelbagai reaksi marah dan geram dilemparkan kerana atas apa jua alasan, mengapa rakyat yang kian dihimpit dengan pembangunan yang pastinya hanya menguntungkan satu pihak. Malah kepada rakyat yang menolak projek ini maka kami digelar orang yang mementingkan diri sendiri. Tidak mahu memikir tentang generasi akan datang.. dah tak ade idea lainlah tu.
Yang pasti ini isu kita .. isu yang menindas kita secara terang-terangan dan isu yang perlu kita tangani secara terang-terangan. Bangkit wahai generasi pewaris Pulau Sebang, Tanjung Rimau Dalam, Padang Sebang, Gadek dan lain-lain yang menerima nasib yang sama. Ini warisan nenek moyang kita, telapak generasi akan datang. Jangan kita biarkan orang lain merampasnya sesenang hati mereka.

Tuesday, May 20, 2008

Aduh Lalainya..

Salam untuk semua,
Seronoknya dapat bercuti panjang dihujung minggu. Terasa diri masih perlu bermalas-malas di peraduan saat jam loceng berbunyi. Bangun alam keadaan separa sedar, sayacuba mengingat apa kerja yang perlu dibuat dan dibereskan sepanjang hari ini. Ingat punya ingat tiba-tiba terbayang tugas pertama pagi ini, mengedarkan 40 set kertas kepada yang berkenaan.Mulanya tiada perasaan cemas hadir kerana itu hanyalah rutin biasa saya namun bila teringat yang kertas edaran itu sebenarnya masih belum disusun dan diklip.. saya terus mengelabah. Serasa seram sejuk badan dan jangankan peluh jantan, segala jenis peluh sudah berlumba-luma untuk keluar. Mujur kertas yang telah siap diperbanyakkan itu saya bawa pulang jika tidak ... tak dapatlah saya nak bayangkan apa yang akan berlaku.
Cik abang hanya geleng kepala melihat kekalutan saya. Saya buat muka selamba kerana takut dibebel seawal jam 5.40 pagi. Tangan saya pula cukup tidak efisien kerana lagi laju saya bergerak lagi banyak halangan yang ada .. sambil itu juga mata asyik dok menjeling pada jam didinding. Teringat juga yang saya sepatutnya masak nasi goreng untuk sarapan, bahannya semua dah siap. Aduh gawat ni, cik abang buat tak faham je .. anak-anak perlu bersarapan kerana hari ni juga ada peperiksaan di sekolahnya. Tak kan nak biar anak-anak pergi kesekolah dengan perut kosong?
Akhirnya setelah separuh jalan, cik abang suruh saya uruskan hal dapur.. dia nak tolong sambung. Syukur akhirnya ada pertolongan dan syukur juga cik abangku tak membebel langsung pasal kecuaianku ini. Akhirnya menjelang jam 6.05 pagi semuanya selesai. Baru boleh nampak wajahku tersengih kerana senang hati.

On the other side ...
Walau sekalut manapun saya pagi tadi, saya amat bersyukur kerana saya boleh teringatkan tugasan itu dan sempat menyiapkannya. Bayangkan jika terlupa terus dan pasti saya telah menyushkan ramai orang. Tetapi yang pasti apa yang berlaku pagi tadi menyebabkan saya terfikir dan lantas terus berazam .. I should make a long list about what I plan to do. Agaknya umur dah makin meningkat maka menyiapkan tugasan dah tak boleh main terjah sahaja. Semalam melelapkan mata malam tadi, saya sempat merayau ke laman blog kak long Syikin yang sedang dalam usaha menyiapkan PHD nya. Serasa semangat belajar kak long meresap ke diri .. memikirkan anak-nank yang kini silih berganti mengambil UPSR / PMR buat saya berfikir panjang untuk itu. Apapun kita hanya mampu merancang untuk yang terbaik namun yang menentukan bukan lagi terletak ditangan kita. Semoga apa yang saya rancang akan dipermudahkan jalannya .. Amin.

Monday, May 19, 2008

Akhirnya kutemui ..

Setelah beberapa lama menggunakan layout yang agak kurang kurasa serasi dengannya maka hari ini ku curi jua masa agar dapat ditukar layout ini (sebenarnya baru 9 hari yang lalu). Biarlah terbuang sedikit masa namun kepuasan rasa dan ketenangan jiwa amat kuhargai. Sorry buat semua teman, agaknya pun makin rasa janggal dengan perasaan 'weird' ini, rasanya kali ini hatiku sudah terpaut dan 'chemistry'nya sudah wujud. Barulah rasanya ada keseronokkan untuk menatap dan menulis apa yang patut.
Lantaran yang pasti .. jiwaku rasa secocok dengan pemilihan kali ini. Ibarat telah bertemu kekasih dihati.

Saturday, May 17, 2008

Cuti Sekolah ..

Salam untuk semua,
Lagi seminggu akan tiba cuti sekolah, bagi anak-anak yang akan mengambil peperiksaan awam pasti cuti akan terisi dengan program kelas tambahan dan sebagainya. Bagi ibu bapa yang anak mereka akan mengambil peperiksaan pasti berfikir dua kali untuk pergi bercuti .. namun cuti yang bakal tiba perlu diisi dengan kegiatan yang berfaedah dan bukan hanya membenarkan anak-anak menghabiskan cuti dengan menonton tv atau bermain komputer sahaja.
Peranan kita sebagai ibu bapa bukan hanya mengawasi mereka malah perlu juga menjadi 'guru' sewaktu cuti. Walau apa jua rancangan dan program yang diatur, masa yang terisi sewajarnya menjadi medan untuk kita saling mengenali dan saling lebih mengerti antara satu sama lain.
Wassalam ..

Thursday, May 15, 2008

Selamat merasai pengalaman baru .. wahai puteraku.


Untuk anakku yang berjaya memenangi pertandingan buku skrap ' alam maritim' anjuran Jab. Pelajaran Melaka. Program asal untuk pulang ke kampung sebaik cuti sekolah terpaksa ditangguh ke minggu ke-2. Tahniah dari ibu, abah dan adik-adik.....

Wednesday, May 14, 2008

Award kuberi tahun ini ..

Dah lama teringin nak sediakan award seperti ini but this year, I want to give this to my husband. Who always there for me ..... Thank you .. love you always. Pejam celik telah lebih 14 tahun berkongsi hidup dengannya. Pelbagai perubahan yang telah kami lalui: perubahan fizikal itu adalah satu kepastian namun perubahan dari segi emosi dan pemikiran juga ada. Bagaimana kita menangani satu-satu perubahan bergantung kepada banyak faktor namun yang penting kita perlu saling memikir antara satu sama lain agar masing-masing punya sikap saling menghormati dan menyayangi.
Bagi kami yang memulakan alam perkahwinan di usia muda, banyak kelebihan yang ada..... yang pasti bagaimana terbukanya kami menyatakan kasih antara satu sama lain menjadi ikutan anak-anak yang semakin membesar. Tidak perlu berasa malu untuk jalan sambil berpegangan tangan kerana itu bukannya satu dosa bagi pasangan suami isteri.

Harapan kami semoga ikatan ini akan terus mekar dan hangat tanpa mengira usia dan masa.

Sunday, May 11, 2008

Dilanjutkan lagi ..


Kelmarin kononnya kakitangan awam mendapat berita gembira termasuklah usia persaraan dilanjutkan ke angka 58. Jika dilihat kembali isu ini adalah antara yang mula-mula saya tulis sewaktu memasuki alam blog. Mampukah saya terus dengan karier ini sehingga diusia itu?? Secara peribadinya saya merasakan akan semakin suntuk masa diperuntukkan untuk diri ini jika saya terus memilih untuk bekerja sehingga usia itu. Saya mengharapkan masa bersara yang lebih awal dari kini agar saya dapat menikmati kehidupan yang lebih teratur untuk diri, suami dan keluarga. namun apa jua keputusan yang kita ambil semuanya bergantung kepada upaya diri sendiri. Selamat menyambung tugas hingga ke usia 58 ......Wassalam.

Ada apa dengan ibu mertua?

Seantero dunia merayakan hari ini sebagai satu hari istimewa buat semua ibu. Bagi saya adalah satu bonus jika anak-anak mengingati kita dihari ini tetapi apa gunanya jika 364 hari yang lain anak-anak tidak mengingati ibu mereka. Bagi saya yang kehilangan ibu pada usia 22 tahun, saya amat menghargai jasa ibu mertua kerana ibu saya meninggal ketika saya baru 11 bulan melayari alam rumahtangga dan diketika itu juga saya sedang sarat mengandung putera sulong. Genap 60 hari kehilangan ibu, saya melahirkan putera sulong ini. Saratnya bebanan jiwa yang ditanggung hanya Allah yang maha mengetahui namun disebalik kehilangan itu saya mendapat bimbingan dari seorang ibu mertua yang cukup baik dan prihatin.
Setelah menginjak usia pertengahan 30-an, saya pasti banyak tingkah laku dan perbuatan saya mungkin menyentuh perasaan beliau (maklumlah berada diusia muda) tapi tidak pernah sekali saya ditegur secara terang-terangan malah banyak nasihat dan tunjuk ajar yang telah diberi. Saya dan ibu mertua bukanlah berasal dari daerah yang sama maka pertuturan, makanan dan sedikit kebiasaan harian agak berbeza namun beliau menerima saya sebagai ahli baru keluarganya dengan begitu terbuka sekali. Tidak sekali pun antara kami bermasam muka malah saya menghormati dan menyayangi beliau seperti ibu sendiri.
Syukur saya ke hadrat yang Esa kerana walau saya tidak dapat bermanja dan merasa bimbingan ibu sendiri ketika saat saya baru melayari alam rumahtangga namun saya telah dikurniakan ibu mertua yang cukup memahami, cukup baik malahan cukup untuk menggantikan kekosongan sebagai seorang ibu kepada saya. Malah sempat saya titipkan pada rakan yang bermasalah dengan ibu mertua, bahawa bagaimana Allah mengasihani saya lantas memberikan saya seorang ibu mertua yang baik dan begitu memahami. Rasanya sejak saya mula mengahwini putera sulongnya, saya tidak pernah berasa terpinggir bila berada disamping beliau.
Doa saya semoga arwah ibu (Hjh Maimunah Hamzah) ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Dan buat ibu mertua saya (Pn. Che Som Abd Rahman) semoga hidupnya sentiasa dilimpahi kebahagian dan ketenangan disisi suami, anak-menantu dan cucu-cucu.

Terima kasih juga buat suami dan anak-anak yang telah memberi surprise present .. terima kasih juga buat teman yg menghantar sms hari ibu.

To all mothers out there :
motherhood is a tough 24-hour job. No pay, no days off, most often unappreciated and yet to resign is impossible! Happy Mothers Day..

Saturday, May 10, 2008

Hidup bebas tanpa masalah


Dah lama terfikir nak merapu pasal tajuk ini. Ialah bila usia dah meningkat yang pasti tanggungjawab juga kian bertambah. Tak tercapai dek akal ni bila nak recall semula bila kali terakhir hidup ini bebas tanpa masalah. Relatifnya masalah itu sendiri hadir dalam setiap kehidupan. Kadang kala berat kadang kala ringan dan mudah untuk diselesaikan. Masalah juga adalah satu bentuk ujian dari yang maha Esa untuk umatnya. Bagaimana kita menghadapi dan bagaimana kita bertindak mengatasinya pasti ada kaitan dengan keupayaan diri kita sendiri.
Kekadang perkara kecil yang kita anggap remeh dan tiada apa boleh menjadi perkara besar bagi persepsi orang lain. Seorang teman kerap meluah perasaannya kepada saya tentang masalah yang dihadapi. Agak sukar untuk memberi pandangan kerana saya tidak mengalaminya dan tiada pengalaman berkaitan. Tetapi sebaik mungkin saya cuba memberi pandangan walau kadang kala saya terfikir jika saya berada ditempatnya apa yang perlu dibuat. Walau teman saya merasakan dirinya sering berhadapan dengan masalah namun sebagai manusia kita harus sentiasa ingat bahawa ada orang lain yang lebih teruk keadaannya dari kita.
Bila difikir semula, saya bersyukur dengan apa yang saya ada tetapi itu tidak bermakna saya perlu berhenti mencuba dan mendapatkan apa jua peluang yang lebih baik di depan saya. Pada akhir setiap solat pasti ungkapan ini akan terluah ... ya Allah ya tuhanku kau permudahkanlah segala urusanku di dunia dan akhirat.... Memohon dengan serendah hati semoga setiap urusan saya akan dipermudahkan jalan dan lorong untuk saya menghadapinya.

Susahnya bila dah terlebih biasa

Memang susah nak sesuaikan sesuatu benda baru yang kita ada. hari ini ada extra time untuk tukar cat dan pandangan. Mulanya rasa ok tp macam tak ada chemistry lak... mengapa ye, adakah ini mainan minda, perasaan dan ilusi awangan semata. Tak pe kita cuba untuk dapatkan kesesuaian moga akan timbul keserasian akhirnya.
Macam nak bertemu jodoh pulak.
Biarlah masa yang menentukan dan jika tiada juga rasa itu tiba maka ... it's time for more changes in our lives. Kena lihat dan tunggu dahulu, mana tahu kita akan serasi juga akhirnya.