Wednesday, August 12, 2009

Semoga sihat kembali ..

Sahabat dan rakan di tempat kerja menerima dugaan yang hebat pada awal minggu ini. Isterinya yang juga merupakan kenalan kami telah ditimpa kemalangan. Saat mendengar perkhabaran itu, kami bagai berada dalam kejutan. Kurang 1 km jaraknya dari rumah, kereta yang dipandu oleh isteri rakan kami ini aka kak Zah bertembung dengan sebuah lori yang sedang melakukan u-turn.

Saat entri ini ditulis, beliau masih berada dalam keadaan koma dengan kecederaan berat di kepala.

Ya Allah , berat sungguh dugaan ini .. apatah lagi bagi mereka yang berada disekeliling beliau. Si suami dan anak-anak terutamanya yang akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Semoga mereka diberikan kekuatan yang luar biasa dalam menghadapi saat-saat getir seperti ini.

Saya hanya bertanya khabar tentang keadaan kak Zah dari rakan-rakan, bukan tidak mahu bertanya sendiri kepada suaminya tetapi saya memikirkan agaknya berapa puluh kali dalam sehari si suami perlu menerangkan keadaan isteri tersayang kepada orang-orang yang menelefon beliau. Jika keadaan bertambah baik maka lapanglah dada beliau tatkala memberi perkhabaran tetapi jika keadaan sebaliknya maka pasti kita telah menambah beban emosinya. Cukuplah beliau melayan panggilan dan memberi penerangan kepada ahli keluarga tidak kira yang jauh mahupun yang dekat.

Marilah kita sama-sama mendoakan semoga kak Zah cepat sembuh seperti sediakala dan kembali menguntum senyum seperti kebiasaannya. Amin...

No comments: